Input your search keywords and press Enter.

Pemandu Treler Maut Kemalangan, Anak Cedera

M Update, 21/6/2019 – Seorang pemandu treler maut selepas treler yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan yang dinaiki dua individu dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Gemencheh-Batang Melaka, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Ramli Kasa berkata selain itu tiga individu cedera dalam kemalangan itu iaitu seorang kelindan dan penumpang treler serta pemandu kereta Proton Wira Aeroback manakala penumpang kenderaan itu tidak mengalami kecederaan. Beliau berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Kassim Mohammad, 50, akibat cedera parah di kepala.

Kejadian berlaku semasa sebuah kereta Proton Wira Aeroback dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler yang dipandu mangsa bersama dua anak lelakinya yang berumur 19 dan 17 tahun. Akibat kemalangan itu, anak mangsa berumur 17 tahun mengalami patah kaki manakala seorang lagi anak mangsa cedera ringan. Pemandu kereta berkenaan yang berumur 24 tahun juga mengalami kecederaan ringan manakala penumpang hadapan kenderaan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kesemua mangsa dihantar ke hospital sama untuk rawatan. – Bernama

Leave a Reply