Input your search keywords and press Enter.

PM Bentang Pindaan Perlembagaan Hari Ini

M Update, 16/7/2019 – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dijadual dibentangkan semula pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat, RUU yang berada pada kedudukan pertama itu akan dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

RUU yang bakal menyaksikan pindaan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, selain pendaftaran automatik dan perubahan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun berkenaan dijangka dibentang untuk bacaan kali kedua, pada jam 12 tengah hari ini, sebaik selesai sesi soal jawab lisan dan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT).

Pada 10 Julai lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 4 Julai ditarik balik. Dr Mahathir dilaporkan berkata, percaturan itu bagi memasukkan cadangan pindaan berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai peneraju usaha meminda peruntukan berkenaan sebelum ini giat mengadakan siri perbincangan, membabitkan pemimpin politik dari blok kerajaan dan pembangkang.

Usaha meraih sokongan bipartisan itu antara lain menyaksikan pembangkang sebulat suara menyokong langkah kerajaan dalam memperkasakan ‘suara’ golongan muda menerusi cadangan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, namun memperuntukkan dua prasyarat. Ia merangkumi pendaftaran automatik sebagai pengundi sebaik mencapai usia 18 tahun dan menurunkan had minimum calon daripada 21 kepada 18 tahun.

Sekiranya prasyarat itu dipenuhi, pemimpin blok pembangkang menyuarakan jaminan bahawa sokongan dua pertiga yang dijadikan asas kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat berupaya dilaksanakan, hari ini. – BH Online

Leave a Reply