Input your search keywords and press Enter.

Undi 18 tahun: SPR, JPN Tubuh Jawatankuasa Petugas Khas

M Update, 11/10/2019 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menubuhkan jawatankuasa petugas khas berhubung pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, dalam kenyataan semalam berkata jawatankuasa itu bertindak menyelaraskan maklumat warganegara dan perkara lain yang berkaitan. Selain itu, salah satu program kerjasama SPR dan JPN yang telah dirancang adalah mengadakan kempen secara besar-besaran bagi menggalakkan warganegara mengemas kini alamat bermastautin terkini di JPN,” katanya.

Walaupun usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada 1 Julai 2021, SPR akan berusaha untuk melaksanakannya secepat mungkin. Dalam tempoh peralihan sebelum dikuatkuasakan, SPR bercadang melantik Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) dalam kalangan ahli parti politik.

Bagi tujuan ini, parti politik boleh mengemukakan cadangan pelantikan kepada Ibu Pejabat SPR dan mana-mana pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara mulai sekarang,” katanya.

Menjelaskan lanjut, SPR turut mencadangkan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri atau Perlembagaan Negeri bagi membolehkan calon berumur 18 tahun sebagai wakil dewan undangan negeri (DUN) dibuat ketika persidangan DUN yang dijangka pada November ini atau selewat-lewatnya Mac 2020. Pemilihan calon berumur 18 tahun sebagai wakil Dewan Rakyat telah mula dikuatkuasakan pada 11 September lalu.

“Semua pihak ambil maklum akan pindaan ini yang berkuat kuasa di peringkat Dewan Rakyat dan berharap ia juga dapat dilaksanakan dengan segera di peringkat DUN,” katanya.

Semua perkara itu telah diterangkan kepada 20 wakil parti politik dalam sesi libat urus bipartisan berhubung pelaksanaan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik pada 3 Oktober lalu. SPR turut memaklumkan mengenai pelaksanaan program pendidikan pengundi bertujuan memberikan kesedaran dan kefahaman berhubung proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia terutamanya kepada golongan belia dan pelajar sekolah.

SPR juga telah membangunkan modul khusus mengikut kumpulan sasaran iaitu modul pendidikan pengundi untuk belia lepasan sekolah dan modul pendidikan sivik untuk pelajar sekolah menengah. Sekiranya ada parti politik ingin mengetahui mengenai perkara itu, SPR bersedia untuk memaklumkan kandungan terperinci modul,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply