Input your search keywords and press Enter.

Agong, Raja Permaisuri Selesai Kuarantin, Bebas COVID19

M Update, 10/4/2020 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selesai menjalani kuarantin diri selama 14 hari dan disahkan bebas Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berdua dan ahli keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat dan menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas doa dan keprihatinan semua terhadap kesejahteraan dan kesihatan Seri Paduka sekeluarga.

Seri Paduka berdua dan keluarga menjalani kuarantin diri di Istana Negara seperti dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan pengesahan beberapa kakitangan Istana Negara positif Covid-19 oleh pihak KKM dua minggu lalu.

“Berikutan kes positif tersebut, sejumlah 116 kakitangan Istana Negara turut diarahkan oleh KKM menjalani saringan dan kuarantin diri selama 14 hari yang juga berakhir semalam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah yang amat prihatin terhadap perkembangan terkini wabak Covid-19, mengulangi titah agar rakyat mematuhi semua nasihat dan perintah yang dikeluarkan KKM dan pihak berkuasa, khususnya perintah kuarantin diri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seri Paduka turut menzahirkan perasaan amat sedih kerana masih ada rakyat Malaysia yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan atas kepentingan diri sendiri. Ini menyebabkan peningkatan kes-kes Covid-19 positif dan pertambahan kawasan-kawasan zon merah.

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu meratakan lengkungan jangkitan Covid-19 ini dengan terus berada di rumah. Jika perlu keluar untuk membeli barang keperluan, pakailah penutup hidung dan mulut serta amalkan jarakan sosial,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada KKM, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, khususnya wira dan wirawati di barisan hadapan, atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira penat lelah.

Peratusan tinggi pesakit Covid-19 yang pulih dan peratusan kematian di Malaysia yang rendah membuktikan bahawa kerajaan mempunyai tatacara pengendalian pandemik di antara yang terbaik di dunia.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka Baginda Berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama berdoa memohon ihsan Allah SWT semoga Malaysia sentiasa di dalam lindungan dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

Sumber : HM Online

Leave a Reply