Input your search keywords and press Enter.

Tren, Bas Prasarana Beroperasi Seperti Biasa

M Update, 17/3/2020 – Semua perkhidmatan tren dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa, esok.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias berkata, ia membabitkan perkhidmatan tren transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling; Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang dan Laluan Monorel.

Turut beroperasi dengan jadual kekerapan hari bekerja adalah Bas Rapid Transit Laluan Sunway dan perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL; Rapid Penang; Rapid Kuantan; Rapid Kamunting dan Rapid Manjung.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan akan dibuat kemudian untuk memastikan kesesuaian jadual kekerapan yang digunakan.

“Memandangkan perintah pergerakan terhad ini diarahkan buat pertama kali, kami perlu memastikan kekerapan yang sesuai kerana belum dapat memastikan jumlah penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan kami pada esok dan sepanjang tempoh perintah pergerakan terhad ini.

“Kita akan berbincang dengan pihak Kementerian Pengangkutan khususnya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum apa juga keputusan diambil berhubung kekerapan perjalanan tren dan bas kendalian Prasarana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Nizam turut mengesahkan bahawa Pusat Konsesi Hab Bas Pasar Seni akan dibuka seperti biasa untuk kemudahan golongan orang kurang upaya (OKU), pelajar dan warga emas mendapatkan diskaun 50 peratus untuk perjalanan mereka.

Maklumat lanjut perkhidmatan Rapid KL boleh melayari akaun Twitter dan Instagram serta Facebook @myrapid atau menghubungi talian Hotline di 03-78852585.

Leave a Reply