Input your search keywords and press Enter.

Tempoh Percubaan Operasi 24 jam ICQS Bukit Kayu Hitam Ditamatkan

M Update, 17/6/2020 – Kerajaan akan menamatkan pelaksanaan tempoh percubaan operasi 24 jam bagi kenderaan berat dan bermuatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam bermula semalam.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Dalam Negeri, bermula hari ini waktu operasi di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam bagi laluan kenderaan berat akan kembali ke waktu operasi asal iaitu dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas Malaysia dan Thailand bersetuju tidak meneruskan operasi 24 jam di Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao berikutan hasil kajian mendapati jumlah pergerakan kenderaan sangat rendah dan tidak memberi impak perdagangan dua hala.

“Sebelum ini, Jawatankuasa Penilai (Malaysia) bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi melaksanakan kajian mengenai Keberkesanan Operasi 24 jam di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

“Hasil kajian itu mendapati jumlah pergerakan kenderaan berat dan bermuatan adalah sangat rendah iaitu kurang daripada satu peratus daripada jumlah pergerakan kenderaan berat dan bermuatan sepanjang waktu pelanjutan tempoh operasi daripada 12.01 tengah malam sehingga 5.59 pagi.

“Selain itu ia dilihat tidak memberi kesan atau impak signifikan dalam meningkatkan perdagangan dua hala dan merancakkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya termasuk untuk menjayakan usaha ke arah mewujudkan hab logistik bersepadu,” katanya.

Kenyataan itu berkata, bagaimanapun sebarang cadangan pembukaan semula atau pemberian kelonggaran terhadap operasi pintu masuk negara akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa tanpa mengabaikan aspek kawalan sempadan dan hasrat penjanaan semula ekonomi negara.

Sebelum ini, Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Thailand Kedua berhubung Pelaksanaan Operasi 24 Jam di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao yang diadakan pada 10 Januari 2019 bersetuju supaya operasi 24 jam di dua pintu sempadan itu dilaksanakan secara percubaan selama tiga bulan khusus untuk kenderaan berat dan bermuatan bermula 18 Jun 2019 sehingga 17 September 2019.

Pada akhir tempoh itu, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk melanjutkan tempoh percubaan selama 9 bulan lagi, menjadikan keseluruhan tempoh pelaksanaan ialah 12 bulan sebelum ia tamat hari ini.

Bagi menilai keberkesanan pelaksanaan operasi 24 jam sepanjang tempoh percubaan itu, Malaysia dan Thailand menubuhkan Jawatankuasa Penilai Keberkesanan Operasi 24 jam itu bagi meneliti berhubung pengurangan kesesakan di pintu masuk sempadan Malaysia dan Thailand.

Penelitian juga dilakukan terhadap perkara berkaitan peningkatan jumlah hasil kutipan cukai di pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam; peningkatan perdagangan dua hala antara dua negara, implikasi kepada aspek keselamatan di sempadan pintu masuk Bukit Kayu Hitam – Sadao; dan kesan sampingan kepada sosio-ekonomi penduduk setempat

Leave a Reply