Input your search keywords and press Enter.

Warga Asing Tidak Dibenar Kerja Barisan Hadapan – KSM

M Update, 6/8/2020 – Warga asing tidak dibenarkan bekerja dalam sektor tertentu sebagai pekerja barisan hadapan.

Menegaskan perkara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ia bertujuan bagi memberi peluang kepada warga tempatan mendapat tempat dalam bidang pekerjaan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran negara.

“Selepas mengambil kira pelbagai faktor, kerajaan tidak akan membuka sektor frontliner (barisan hadapan) kepada warga asing.

“Bagaimanapun, jika di stesen minyak kita benarkan pekerja asing menjadi atendan pam tetapi mereka tidak bertugas di kaunter. Di kedai makan, kita benarkan pekerja asing menjadi tukang masak tetapi di barisan hadapan masih diperlukan warga tempatan.

“Ini antara langkah memastikan warga tempatan khususnya belia bekerja kerana golongan itu bakal menentukan hala tuju negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Bagaimanapun jelas Saravanan, langkah ini tidak bermaksud menolak warga asing dalam bidang pekerjaan di Malaysia, namun mereka akan ditempatkan pada bidang yang lebih sesuai bergantung kepada sesebuah sektor tersebut. – UTUSAN