Input your search keywords and press Enter.

Bantu PDRM Tangani Jenayah – KPN

M Update, 13/8/2020 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengharapkan kerjasama semua jabatan dan agensi berkaitan dalam memerangi kegiatan penyeludupan rokok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sememangnya mempunyai pasukan khas untuk memantau aktiviti berkenaan.

“Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah saya berikan arahan dan mereka menubuhkan pasukan siasatan yang memang dilengkapkan pelbagai aset untuk memerangi kegiatan penyeludupan.

“Tumpuan utama adalah di sepanjang pantai dan sempadan darat,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.

Beliau mengulas mengenai penjualan rokok seludup oleh peniaga Acheh di Bandar Baru Sungai Buloh. Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, sekiranya rokok seludup berjaya masuk ke negara ini dan dipasarkan, maka jabatan tertentu pula perlu mengambil tindakan.

“Apabila terdapat pembolosan barang-barang (seludup) sampai di kedai-kedai, saya memohon kerjasama jabatan tertentu untuk ambil tindakan.

“Saya mengalukan kerjasama jabatan lain untuk menanganinya. Maklumlah ketika ini kira-kira 50,000 pegawai dan anggota (polis) saya sudah dikhaskan untuk membantu Op Covid,” katanya.

Sementara itu, mengenai kegiatan perjudian, sebanyak 61 sindiket perjudian ditumpaskan polis sepanjang Januari ini hingga Julai lalu berbanding 32 sindiket sepanjang tahun lalu.

Ia menerusi 3,015 serbuan dilakukan di premis perjudian dengan menahan 5,590 individu, selain merampas 9,817 peranti elektronik dan wang tunai lebih RM1.04 juta. Dalam tempoh sama tahun ini, sebanyak 240 fail kes dibuka dan 185 individu diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959. – HM Online