Input your search keywords and press Enter.

Dakwa Buruh Paksa: AS Sekat Produk Sawit Keluaran FGV Malaysia

M Update, 1/10/2020 – Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) bakal mengharamkan minyak sawit dan produk komoditi itu yang dihasilkan FGV Holdings Berhad, anak syarikatnya dan sebarang usaha sama dengan syarikat itu di semua pintu masuk negara itu, berkuat kuasa 30 September.

CBP mengarahkan penerbitan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) terhadap produk sawit dan minyak sawit yang dihasilkan FGV berdasarkan maklumat secara munasabah yang menunjukkan berlaku penggunaan buruh paksa.

Perintah itu susulan penyiasatan yang dijalankan selama setahun apabila membawa pendedahan penggunaan buruh paksa termasuk penipuan; sekatan pergerakan; pengasingan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman; penyimpanan dokumen pengenalan diri; penahanan gaji; perhambaan hutang; keadaan hidup serta kerja berlebihan.

Mengikut undang-undang persekutuan 19 USC 1307, ia melarang pengimportan barang dagangan yang dilombong, dibuat atau dihasilkan, sepenuhnya atau sebahagian oleh buruh paksa termasuk buruh paksa kanak-kanak dan buruh terikat. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, CBP mendapati buruh paksa kanak-kanak digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV.

WRO ini akan mengkehendaki penahanan minyak sawit yang dihasilkan FGV dan sebarang produk atau derivatif minyak sawit yang dapat dikesan dari minyak sawit yang dihasilkan FGV di semua pintu masuk pelabuhan AS. CBP memberi peluang kepada pengimport yang barangnya ditahan untuk mengeksport penghantaran atau mengemukakan bukti bahawa barang dagangan berkenaan tidak dihasilkan oleh buruh paksa.

Menurut CBP, semua WRO tersedia untuk umum dan disenaraikan mengikut negara di halaman Perintah dan Penemuan Pelepasan Tahan Tenaga Kerja Paksa jabatan itu. Pihaknya menerima aduan berkaitan buruh paksa daripada pelbagai sumber termasuk masyarakat umum.