Input your search keywords and press Enter.

MH17: Rusia Tarik Diri Dalam Rundingan Nahas Pesawat

M Update, 16/10/2020 – Rusia semalam menyatakan ia akan menarik diri daripada satu perundingan dengan Belanda dan Australia berhubung pesawat komersial milik Malaysia iaitu MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada tahun 2014. Tindakan itu dilakukan kerana terdapat laporan bahawa akan berlaku cubaan untuk menyalahkan Moscow dalam kejadian itu.

Tindakan permusuhan yang dilakukan oleh Belanda akan menyebabkan penerusan sebarang rundingan melibatkan tiga buah negara dan penyertaan kami sebagai tidak munasabah,” kata Kementerian Luar Rusia dalam satu kenyataan.

Tiga buah negara itu telah mengadakan perbincangan bagi mencari siapakah pihak yang bersalah dalam kejadian tersebut sejak tahun 2018. Dalam kejadian tersebut, sebuah pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur terhempas dipercayai akibat terkena peluru berpandu BUK rekaan bekas Kesatuan Soviet pada 17 Julai 2014. Dalam kejadian itu seramai 298 orang yang menaiki pesawat berkenaan terkorban.

Rusia mengadu bahawa Belanda sedang mengemukakan kes tersebut bagi menentang negaranya kerana ‘peranannya dalam membawa kemusnahan terhadap penerbangan MH17’ di Mahkamah Eropah Untuk Hak Asasi Manusia (ECHR)” selepas hanya tiga kali perbincangan.

Kementerian Luar Russia menjelaskan pertimbangan itu dibuat selepas wujud pelbagai cubaan ‘jahat’ untuk menuding jari kepada Moscow, kononnya didakwa menjadi dalang insiden berkenaan. Moscow menafikan ia terlibat dalam kejadian tersebut tetapi menyalahkan Ukraine berhubung nahas itu.

Jelas sekali bahawa Australia dan Belanda tidak cuba ingin memahami apa yang tercetus ketika musim panas 2014, sebaliknya ingin sekadar mendapatkan pengakuan dari Russia dan menuntut pampasan untuk waris mangsa. Bagaimanapun, Rusia akan “meneruskan kerjasamanya” dengan Belanda dalam siasatan kejadian berkenaan tetapi “dalam satu format yang berbeza,” tambahnya.

Sebuah mahkamah di Belanda pada Mac lalu memulakan pendengaran kes terhadap empat suspek, tiga daripada mereka ialah warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine yang dituduh menyebabkan nahas pesawat MH17. – AFP