M Update, 23/1/2019 – Hari yang ditunggu-tunggu bakal tiba dan segala persoalan seluruh rakyat Malaysia akan terjawab esok. Sembilan Raja Melayu akan bermesyuarat esok bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu yang akan bersemayam bagi tempoh lima tahun.
Mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang dijadual akan berlangsung di Istana Negara jam 10.30 pagi diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lepas.
Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan itu. Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.
Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperoleh undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.
Proses hanya akan selesai selepas baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, majlis akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.
Sumber : Bernama