Input your search keywords and press Enter.

Kategori Ajaran Sesat

Ajaran Sesat ialah ajaran yang didukungi oleh orang Islam atau bukan Islam yang bertentangan dengan Al-Qur’an, As-Sunnah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau fatwa-fatwa ASWJ dari sudut akidah, syariat dan akhlak (JAIS: 2012). Justeru, ajaran sesat ruang lingkupnya amat luas sama ada sesat dari sudut kepercayaan atau akidah, sesat dari sudut pengamalan atau syariat dan sesat dari sudut akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhannya.

Antara fahaman yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah adalah fahaman-fahaman klasik dalam pemikiran Islam yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Waljamaah seperti Syiah, Murjiah, Khawarij, Qadariah, Jabariyyah, dan Muktazilah. Antara fahaman moden yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Waljamaah pula adalah seperti Nasionalisme, Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme, Sosialisme, Kapitalisme dan Komunisme.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengamalan atau syariat ialah ibadah, ritual atau pengamalan yang diada-adakan menyalahi sumber syariat Islam iaitu Al-Qur’an, As-Sunnah, ijmak dan qias. Sebagai contoh yang pertama ialah mengamalkan solat yang wajib kurang atau lebih daripada lima waktu. Yang kedua mengguna pakai kaedah perlaksanaan zakat dan puasa yang menyalahi kaedah perlaksanaan yang sedia maklum. Contoh yang ketiga pula menunaikan haji bukan di Makkah atau dilaksanakan pada bulan selain bulan haji dan sebagainya.

Antara fahaman yang sesat dari sudut pengabdian atau akhlak antara hamba bersama Tuhannya seperti pengagungan ketua, guru atau tokoh manusia melebihi kedudukan kemanusiaan. Kebanyakan fahaman atau ajaran sesat dalam kategori ini berselindung di bawah nama tasawuf dan tarekat. Mereka menisbahkan nama kumpulan dengan nama-nama tarekat sufi yang muktabar tetapi hakikatnya mereka tiada kaitan langsung dengan aliran tarekat tersebut. Dakwaan palsu tersebut boleh dikesan dari sudut wujud atau tidak pengijazahan dan sanad sesebuah aliran tarekat yang menjadi sandaran.

Sumber – Majlis Agama Islam Selangor

Leave a Reply