M-Update,30/1/2019, ABU DHABI: Qatar membelasah tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 4-0 pada pertembungan separuh akhir yang dicemari tingkah laku penyokong, sebentar tadi untuk mara ke final Piala Asia buat kali pertama. Qatar akan berdepan Jepun pada aksi final, Jumaat ini selepas jaringan Boualem Khoukhi, Almoez Ali, Hasan Al-Haydos dan Hamid Ismaeil memastikan kemenangan buat tuan rumah Piala Dunia 2022 itu di tengah-tengah adegan buruk di Abu Dhabi.
Keputusan yang membolehkan Qatar mengekalkan rekod bersih enam kemenangan di Piala Asia menyaksikan insiden balingan objek seperti botol plastik yang datang dari arah tempat duduk penonton. Qatar meledak gol pertama selepas 21 minit apabila rembatan Khoukhi gagal diselamatkan penjaga gol UAE, Khalid Eisa yang mengejutkan kira-kira 38,000 penonton.
Ali kemudian menambah gol kedua Qatar lapan minit sebelum rehat sebelum Al-Haydos menjadikan kedudukan 3-0 selepas tenang menewaskan Eisa pada minit ke-80.UAE terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila tonggak pertahanan, Ismail Ahmed dilayangkan kad merah pada masa kecederaan selepas menyiku Al-Hajri sebelum Ismaeil mengesahkan kemenangan bergaya Qatar dengan meledak gol keempat. – AFP