M Update, 15/2/2019 – Gambar menyayat hati tersebar di Internet menunjukkan seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang kurus kering dan terlalu lemah kerana kebuluran sehingga terpaksa didukung kakaknya untuk mendapat rawatan.
Fatima Qoba cuma seberat 9.9 kilogram (kg) – bersamaan kanak-kanak usia tatih yang sihat – malah kulitnya juga terlalu nipis akibat bertahun-tahun kekurangan zat. Dia kini dirawat di sebuah klinik di Hajjah, barat laut Yaman, selepas kakaknya membawanya ke situ kerana bimbang nyawanya terancam.
Dr Makiah al-Aslami berkata: “Semua simpanan lemak dalam badannya sudah digunakan. Memang dia cuma tinggal kulit dan tulang. Dia memerlukan sebulan untuk sembuh dari segi fizikal serta mental.” Fatima, bapa dan 10 beradiknya terpaksa meninggalkan kediaman mereka ketika serangan udara oleh tentera diketuai Arab Saudi, dan kini tinggal di bawah pokok.
“Kami tiada wang untuk membeli makanan dan terpaksa bergantung kepada jiran dan keluarga yang bersimpati. Ayah kami tidak bekerja dan kini hanya duduk termenung di bawah pokok yang menjadi tempat kami berteduh,” katanya.
Katanya, seorang saudara akhirnya berjaya mengumpulkan wang untuk membawa Fatima ke hospital berkenaan.
Sumber : Agensi, HM Online