M Update, 8/3/2019 – Seorang penuntut universiti dilaporkan pekak sebelah telinga selepas tertidur sambil memakai fon telinga ketika mendengar muzik, dalam kejadian di Taiwan baru-baru ini.
Daily Mail melaporkan, dia mengalami masalah itu selepas salah satu fon telinga masih berada di telinganya hingga pagi, kata doktor.
Bagaimanapun, penuntut tahun kedua itu bernasib baik kerana dapat mengelakkan daripada mengalami cacat kekal selepas lima hari menerima rawatan di Asia University Hospital di bandar Taichung, Taiwan.
Pengarah Jabatan Otorhinolaryngology hospital terbabit, Dr Tian Huiji menjelaskan, aliran darah dalam badan manusia akan menjadi perlahan ketika tidur.
Katanya, keadaan aliran darah itu juga menyebabkan telinga tidak dapat menerima bunyi muzik terlalu kuat dan boleh menjadi punca seseorang hilang pendengaran secara tiba-tiba.
Tahun lalu, seorang Prof Madya Klinikal di New York University, Dr William Shapiro mendakwa, golongan muda sering tidak mengendahkan nasihat lalu merosakkan pendengaran mereka akibat mendengar muzik terlalu kuat menggunakan fon kepala.
Sumber : HM Online