Input your search keywords and press Enter.

Malaysia nyata komitmen bantu Bangsamoro

M-Update,8/3/2019, MANILA: Malaysia menyatakan komitmennya untuk terus membantu Filipina membangunkan ekonomi kerajaan autonomi baharu di Mindanao, Rantau Berautonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM). Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan bersama Presiden Filipina, Rodrigo Duterte di Istana Malacanang di sini hari ini, berkata penubuhan BARMM tahun lalu membantu meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara berikutan potensi ekonomi luas di rantau ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Duterte atas kejayaan melaksanakan Undang-Undang Organik (BOL) dan pelantikan anggota dalam Penguasa Peralihan Bangsamoro (BTA),” katanya selepas menghadiri pertemuan dua hala secara tertutup dengan Duterte dan anggota kerajaannya.Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking dan pegawai kanan kementerian.

BOL digubal tahun lalu selepas pentadbiran Duterte meluluskan undang-undang pada tahun sama yang memberikan lebih banyak autonomi kepada rantau dihuni majoriti masyarakat Islam itu dengan 80 anggota mewakili badan BTA yang memerintah rantau ini akan diumumkan tidak lama lagi.“Saya mengharapkan peralihan lancar dari wilayah (sebelum ini) – Rantau Berautonomi Di Mindanao Muslin (ARMM) kepada kerajaan sementara BARMM,” katanya.

Dr Mahathir berkata, inisiatif kerjasama ekonomi serantau di Asia Tenggara yang dikenali Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) boleh digunakan untuk membantu kedua-dua negara untuk pembangunan di Mindanao.Beliau juga menggalakkan sektor swasta dari kedua-dua negara meneroka kerjasama baharu berkaitan perdagangan dan pelaburan.

“Duterte dan saya yakin aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua negara dapat diperkukuh pada tahun mendatang,” katanya sambil menambah, kedua-dua negara turut mengakui kemajuan sudah dibuat dalam sektor pendidikan serta pendidikan kesihatan.“Presiden dan saya juga menekankan pentingnya pendidikan. Kami membincangkan program untuk guru dan pelajar di madrasah terutama di Mindanao,” katanya.

Pada majlis sama, Dr Mahathir juga mengulangi komitmen Malaysia terhadap Filipina dan negara jiran lain berkaitan pembangunan ekonomi serta keselamatan serantau dengan memastikan langkah sewajarnya diambil untuk menangani isu serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, mengulas perkembangan di Mindanao, Duterte berterima kasih kepada Malaysia atas peranan pentingnya sebagai fasilitator pihak ketiga ketika proses damai di antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).“Jalan yang merintis kepada peralihan bersejarah BARMM diperoleh menerusi sokongan rakan antarabangsa kami dengan Malaysia memainkan peranan penting. Kerja yang baik perlu diteruskan,” katanya.

“Saya berterima kasih kepada Dr Mahathir atas sokongan berterusannya dalam pembangunan di selatan negara ini. Kemajuan Mindanao adalah kunci pembangunan di Filipina dan BIMP-EAGA,” katanya.Terdahulu, ketibaan Dr Mahathir di Istana Malacanang disambut laungan gembira “Malaysia! Malaysia!” oleh ratusan kanak-kanak yang berbaris di sepanjang jalan utama menuju ke bangunan pentadbiran utama Kerajaan Filipina di pusat bandar.

Majlis sambutan negara bermula dengan persembahan Negaraku dan lagu kebangsaan Filipina. Kedua-dua pemimpin kemudian melakukan pemeriksaan kawalan kehormat ke atas Angkatan Tentera Filipina.Sebelum itu, Dr Mahathir menghadiri upacara meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Jose Rizal di Rizal Park, yang dibina bagi memperingati pejuang kemerdekaan Filipina, Jose Rizal.

Turut hadir pada upacara itu, Datuk Bandar Manila dan bekas Presiden Joseph Estrada serta Panglima Angkatan Laut Filipina, Rommel Jude Ong.

–BHarian

Leave a Reply