M Update, 12/3/2019 – GAS beracun terhasil yang menyebabkan puluhan mangsa terlantar di zon merah dan zon kuning di hospital terjawab apabila ia dikenal pasti sebagai sisa minyak aktiviti mencuci kapal. Setakat ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor sudah mengenal pasti kira-kira 30 kilang yang disyaki menghasilkan sisa bahan kimia berhampiran Sungai Kim Kim di sini, yang menjadi punca pencemaran gas metana kelmarin.
Pengarahnya, Datuk Dr Muhammad Ezani Mat Salleh berkata, pihaknya menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengesan pihak yang melepaskan sisa kimia beracun berkenaan di sungai itu. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan 24 jam dan 30 kilang sudah dikenal pasti. Kami akan periksa kilang mana yang menghasilkan sisa bahan kimia sama dengan sampel bahan kimia yang dijumpai di sungai terbabit,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bahan yang dibuang ke sungai terbabit adalah sisa minyak daripada aktiviti mencuci kapal. Pihak tidak bertanggungjawab ini ambil jalan mudah, hendak buang sisa bahan ini, buang sahaja di tepi sungai. Kami akan terus cari siapa pelakunya,” katanya yang mendakwa pernah menerima aduan penduduk berhubung aktiviti kilang berhampiran, namun insiden pembuangan sisa bahan kimia itu yang pertama direkodkan.
Dr Muhammad Ezani berkata, pemantauan dan bacaan udara juga dilakukan 24 jam di lokasi berkenaan bagi menyukat paras udara sama ada masih wujud gas metana atau tidak. Beliau meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu supaya menghubungi JAS bagi membantu siasatan. Untuk kenal pasti suspek memang sukar, jadi kami perlukan kerjasama orang ramai. Kita minta Jabatan Kimia juga kenal pasti cap jari. Orang ramai boleh menghubungi talian 24 jam 1-800-88-2727 untuk menyalurkan maklumat,” katanya.
Sumber : HM Online