M Update, 13/3/2019 – Cukup menyayat hati apabila rakan-rakan hanya mampu melihat dari jauh ketika mayat lelaki warga Indonesia diheret buaya ke dalam sungai di Sungai Stubah, Tanjung Manis, Sabtu lalu. Lebih memilukan apabila mereka melihat mayat mangsa dalam rahang reptilia berkenaan sebelum hilang diheret ke dalam sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis, Razali Junis berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih diteruskan hari ini, terutama di sekitar lokasi terakhir reptilia itu dilihat rakan mangsa. Sabtu lalu, empat rakan sekerja mangsa terserempak dengan buaya berkenaan sedang mengheret mayat lelaki berkenaan, namun kedudukan mereka agak jauh dari reptilia itu.
Mereka sempat merakamkan kejadian itu melalui telefon bimbit dan rakaman itu turut membantu operasi SAR yang dilancarkan,” katanya ketika dihubungi di Tanjung Manis, hari ini. Katanya, operasi SAR kini bertumpu kepada kaedah pencarian di permukaan air, selain mengesan lokasi mayat mangsa ‘disembunyikan’ buaya berkenaan.
Dalam kejadian 11 pagi Sabtu lalu, Yosep Tepu, 20-an, dilaporkan hilang ketika membuang air berhampiran sebuah parit besar di ladang sawit tempatnya bekerja, dipercayai dibaham buaya. Kehilangan mangsa hanya disedari rakan setugasnya selepas tidak kembali ke pondok pengawal keselamatan ladang berkenaan sebelum usaha pencarian dilakukan. Laporan kehilangan mangsa dibuat di Balai Polis Bintangor, Ahad lalu, sebelum operasi SAR dilancarkan.
Sumber : HM Online