M Update, 14/3/2019 – Pasukan Polis Marin (PPM) memberkas pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan berasingan di Laut Sungai Agas dan Jeti Penumpang Southpoint semalam.
Tangkapan pertama kira-kira jam 11.30 pagi dibuat menerusi Ops Pensura selepas melihat sebuah feri penumpang dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan di feri yang dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke Jeti Penumpang Southpoint itu kemudian telah menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 23 tahun.
Mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah selain tinggal lebih masa di dalam negara
Selain itu, dua lagi lelaki warga Bangladesh berusia 35 dan 43 tahun turut ditahan di Jeti Penumpang Southpoint kira-kira satu jam kemudian.
Siasatan awal mendapati PATI ini dipercayai dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang untuk bersiar-siar.
Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sumber : Sinar Harian