M-Update,15/3/2019, BAIKONUR – Angkasawan dari Amerika Syarikat (AS) dan Rusia berjaya berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz, beberapa bulan selepas misi pada Oktober lalu gagal ekoran masalah teknikal.
Daily Mail melaporkan, angkasawan AS, Nick Hague dan Christina Koch serta Alexey Ovchinin dari Rusia, berlepas ke ISS pada pukul 3.14 petang semalam waktu tempatan di Baikonur Cosmodrome, Kazakshtan.
“Segalanya berjalan lancar dan angkasawan berada dalam keadaan baik,” jelas Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA).
Kira-kira enam jam selepas berlepas iaitu sekitar pukul 9.07 malam waktu tempatan, roket Soyuz itu dijangka bergabung dengan ISS, dan angkasawan berkenaan akan mendiami stesen angkasa lepas itu untuk tempoh enam bulan.
Pelancaran roket Soyuz itu dipantau secara ketat selepas misi pada Oktober lalu dibatalkan selepas dua minit pelancaran ekoran masalah teknikal.