M Update, 29/3/2019 – Pakar bedah Amerika Syarikat (AS) mencipta sejarah selepas mengumumkan kejayaan mereka melakukan pemindahan buah pinggang dari penghidap HIV wanita berusia 35 tahun kepada pesakit lain dengan virus yang boleh menyebabkan AIDS.
Penderma terbabit, Nina Martinez berkata, dia pada mulanya ingin mendermakan organ kepada seorang rakan namun tidak sempat dilakukan kerana meninggal dunia.
Saya berada dalam keadaan yang baik. Saya tahu, saya adalah orang yang ditunggu-tunggu. Ia sebenarnya mudah untuk sesiapa saja yang ingin melakukannya. Saya sudah menunjukkan bagaimana ia dapat dilakukan dan tidak sabar untuk mengetahui siapa pula yang akan melakukannya, katanya pada sidang media.
Wanita yang berasal dari Atlanta itu mengakui dia mendapat inspirasi daripada drama bersiri ‘Grey’s Anatomy’ untuk mendermakan organ dan gembira dapat mencipta sejarah perubatan.
AFP melaporkan, kumpulan pakar bedah dari Universiti John Hopkins, Baltimore itu menjalankan pembedahan yang dianggap sebagai yang pertama dunia pada Isnin lalu.
Sementara itu, profesor madya perubatan dan onkologi universiti itu, Christine Durand berkata, penerima organ dirahsiakan identitinya itu dilaporkan berada dalam keadaan baik. – HM Online, AFP