Input your search keywords and press Enter.

Tan Sri Yahya Ahmad

Tan Sri Yahya Ahmad satu nama yang cukup popular di tahun 90an. Beliau adalah salah seorang usahawan atau tokoh koporat bumiputra yang berjaya dihasilkan di zaman Tun Dr Mahathir. Beliau pernah menggegarkan dunia apabila membeli Lotus secara tunai. Pembelian tunai itu dilakukan setelah orang putih di Lotus tidak percaya kemampuan beliau untuk membelinya. Tanpa bercakap banyak beliau bawa wang tunai untuk membelinya.

Tan Sri Yahya semasa hidupnya mengetuai DRB Hicom. Banyak perniagaan yang dijalankan dibawah rangkaian DRB Hicom pada masa itu termasuklah Proton, Alam Flora, Intrakota dan banyak lagi. Beliau tidak sombong, merendah diri serta menolong orang ramai. Satu projek yang kerajaan berikan kepadanya, seribu projek dia turunkan kepada usahawan-usahawan bumiputra yang lain.

Berita Sedih
Berita pilu yang diterima di awal pagi bulan Mac 1996 oleh rakyat Malaysia disambut dengan rasa tidak percaya. Cerita bagaimana seorang usahawan yang terkenal dengan kegigihannya disingkatkan kecemerlangan kerjayanya masih dirasai terutama oleh syarikat-syarikat Kumpulan DRB-Hicom dan kakitangannya. Ketangkasan dan wawasan beliau lebih-lebih lagi dirindukan di dalam suasana kumpulan yang diasas beliau lemas tersempit oleh kegawatan ekonomi. Ramai yang masih ingat akan kesungguhan beliau untuk menyelesaikan rungutan penumpang bas Intrakota terhadap tahap perkhidmatannya.

Dengan menunggang sendiri motosikal “cub” beliau meredah di celah-celah kesibukan kenderaan KL tanpa mengira di awal pagi sebelum matahari terbit ataupun sewaktu panas yang terik. Tiada protokol yang dipentingkan beliau. Yang lebih menyayatkan hati orang ramai ialah kerana beliau terbunuh ketika dalam menziarahi ibunya yang sedang sakit tenat (dan meninggal beberapa ketika selepas itu). Betapa di dalam kesibukan beliau mengejarkan jadual yang ketat dengan pelbagai perkara yang riuh bermain di dalam kepala, beliau masih sanggup terbang pada waktu larut malam demi menunaikan kesetiaan sebagai anak yang ingin membalas jasa ibu.

Siasatan tragedi memakan masa lebih setahun untuk siap. Selepas siap, laporan tersebut mengambil masa yang lama pula untuk diumumkan. Pesawat Agusta-109P yang mempunyai 6-tempat duduk itu menjunam 2,900 meter ke celah-celah pokok getah berdekatan dengan sebuah kampung dekat Kuala Lipis. Pesawat yang dengan rasminya dimiliki oleh syarikat TSYA, Gadek Aviation Helicopter Sdn Bhd, adalah sebuah pesawat yang baru dibeli dan adalah model tercanggih yang dikeluarkan oleh pembuat pesawat Agusta dari Itali.

Syarikat pembuat telah menghantar jurutera mereka untuk menyiasat punca kemalangan tersebut” Secara kebetulan, kejadian itu berlaku pada tarikh 3.3.1997 yang dianggap sebagai ‘Triple Three Tragedy’ kerana membabitkan tiga angka tiga, iaitu berlaku pada hari ketiga di bulan tiga dan mengorbankan tiga nyawa. Selain Yahaya, dua lagi mangsa ialah isterinya, Puan Sri Rohana Othman, 49, dan juruterbang, Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, 32.

Helikopter Agusta A109E Power milik Gadek Aviation Services Sdn Bhd, anak syarikat DRB-Hicom, dilaporkan hilang pada skrin radar dan terputus hubungan pada jam 11.15 malam ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu, Terengganu. Sebaik saja helikopter itu terputus hubungan dengan menara kawalan, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan. Berdasarkan maklumat beberapa penduduk kampung berhampiran dikatakan mendengar dua letupan, iaitu sekali di udara dan sekali lagi di tempat pesawat itu menjunam.

Helikopter buatan Itali, Agusta A 109E, dengan nombor pendaftaran 9M-DRB dikatakan jatuh menjunam dan berkecai bertaburan di kawasan kebun getah. Ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, bangkai helikopter itu masih terbakar dan ada serpihan ekor yang tertulis perkataan DRB.

Kira-kira 20 anggota polis, lima pegawai, diketuai Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Mahmud Embi, menjalankan gerakan mencari mangsa di kawasan lingkungan 50 meter dari tempat kejadian, tetapi gagal menemui mayat berkenaan. Gerakan yang turut dibantu kira-kira 10 anggota bomba dan penduduk kampung diteruskan hingga mayat ketiga-tiga mangsa ditemui pada jam 1 pagi di bawah serpihan helikopter itu.

Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di bawah cebisan bangkai helikopter itu, kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas dengan jarak yang tidak berjauhan antara satu sama lain. Pasukan mencari dan menyelamat juga menemui sebelah kasut wanita dan sebuah beg tangan. Semua mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Kuala Lipis, kira-kira jam 5.20 pagi untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Marang, Terengganu. Jenazah kemudian diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 9.45 pagi ke Hospital Kuala Terengganu dan dikebumikan.

Di tempat kejadian, pasukan pencari serpihan dan barangan nahas menjumpai dua beg dipercayai milik tokoh korporat itu dan isterinya. Kedua-dua beg dijumpai di kawasan bukit kira-kira 300 meter dari tempat tragedi pada jam 1.30 tengah hari pada hari keempat nahas. Pada hari ke-12 selepas nahas, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menemui bilah rotor terakhir helikopter. Sebelum itu, satu daripada kipas helikopter dijumpai kira-kira satu kilometer dari bangkai pesawat, manakala tiga lagi dijumpai antara 200 hingga 300 meter dari situ.

Sebelum kejadian, Yahaya adalah antara tokoh perniagaan Asean yang diundang menghadiri `Sidang Kemuncak Perniagaan Asean’ pertama di Jakarta, Indonesia yang dijangka diadakan seminggu selepas tarikh nahas. Pada 3 Mac 2001, Mahkamah Koroner memutuskan tiada sebarang unsur niat jahat, perancangan atau sabotaj oleh mana-mana pihak dalam nahas helikopter itu dan tidak dapat menentukan punca sebenar menyebabkan kemalangan.

Inkues selama 32 hari itu bertujuan menentukan punca tragedi, sebab kematian mereka bertiga, dan sama ada kematian dan nahas itu disebabkan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang atau khianat.

Leave a Reply