M Update. 8/4/2019 – Tindakan berterusan pihak berkuasa menggempur dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja serta berniaga secara haram di Pasar Borong Selayang, dekat Gombak mula menunjukkan hasil. Serbuan dilakukan itu tidak mengganggu peniaga tempatan dan mereka menyokong langkah itu kerana dapat mengurangkan kebanjiran warga asing yang dilihat seolah-olah menguasai pasar borong ini.
Sejak awal Januari lalu, pasar borong terbabit digempur lebih 10 kali oleh pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Peniaga tempatan yang mahu dikenali Rosnani, 42, berkata, warga asing yang bekerja dan berniaga secara haram di kawasan terbabit didapati semakin berkurangan selepas lokasi terbabit kerap diserbu pihak berkuasa. Bagaimanapun, masih terdapat warga asing yang berani membuka meja dengan menjual sayur dan ikan di tepi jalan sekitar laluan masuk ke pasar borong terutamanya Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Kita harap pihak berkuasa dapat membuat pemantauan dan rondaan setiap hari di kawasan ini bagi mengekang kegiatan warga asing ini. Rosnani yang hampir tiga tahun berniaga di hadapan pasar borong terbabit berkata, pihaknya turut menyokong tindakan undang-undang dikenakan terhadap pemilik yang menyewakan gerai dan menggajikan warga asing.
Tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemilik yang menyewakan premis dan menggajikan warga asing adalah satu langkah wajar kerana mereka yang menyebabkan kawasan ini dikuasai PATI. Selain itu, langkah itu dapat membuka ruang kepada peniaga tempatan untuk berniaga di sini dan kita harap lesen yang ditarik balik daripada pemilik yang menyewakan gerai kepada warga asing ini dapat diberikan kepada peniaga tempatan yang betul-betul berminat untuk berniaga,” katanya. – HM Online