M Update, 10/4/2019 – Hasrat lelaki ingin menanam kelapa sawit di kawasan hutan terbantut apabila dia ditahan bersama pekerjanya ketika didapati sedang leka menebang dan meratakan tanah secara haram di hutan simpan di Sik, semalam. Bukan itu saja, ketika ditahan lelaki itu turut mengaku tanah terbabit adalah miliknya. Kedua-dua lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Sik untuk siasatan lanjut.
Katanya hasil maklumat dan risikan, dua lelaki tempatan itu berjaya ditahan 2.30 petang dalam Operasi ‘April Fool’. Turut dirampas adalah jengkaut yang digunakan bagi aktiviti berkenaan, berdasarkan siasatan awal, mereka dipercayai melakukan penerokaan bagi menanam kelapa sawit.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) Kedah, Roslan Rani berkata, lelaki berusia 60 dan 51 tahun itu dikesan melakukan kegiatan itu di Kompartmen 19 Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, sejak seminggu lalu. Dianggarkan pokok di tanah seluas tiga hektar sudah ditebang dan bersihkan tanpa kebenaran, nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 81(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana membersih dan membajak tanah untuk tanaman jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, mereka turut akan disiasat mengikut Seksyen 47(1) akta yang sama iaitu memasuki hutan tanpa kebenaran yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis manakala jengkaut disita untuk siasatan lanjut,” katanya. – HM Online