M Update, 12/04/2019 – Polis terpaksa ‘mengusir’ kesemua 25 pemain sebuah pasukan bola sepak British dari penerbangan easyJet di lapangan terbang Alicante kerana mabuk dan mengganggu penumpang lain.
Polis membawa keluar pasukan terbabit sebaik pesawat tiba di Alicante dari Bristol pada Jam 10.50 malam, Sabtu lalu selepas menerima aduan mengenai gangguan besar-besaran dalam penerbangan berkenaan.
Penumpang penerbangan itu bersorak dan bertepuk tangan ketika polis mengiringi pemain terbabit keluar untuk dikenal pasti.
Daily Mail memetik jurucakap polis yang berkata, pemain pasukan bola sepak amatur itu bukan sahaja mengganggu penumpang lain tetapi turut mengabaikan arahan anak kapal.
“Kebanyakan mereka kelihatan seperti di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Bagaimanapun, sumber memaklumkan pemain terbabit tidak ditahan polis dan berkemungkinan perlu membayar denda.