M Update, 16/04/2019 – Mereka yang didakwa kerana memiliki atau mengedarkan rakaman video serangan di dua buah masjid di New Zealand bulan lalu menerima ancaman bunuh, lapor media tempatan, hari ini.
Rakaman mengerikan pembunuhan beramai-ramai yang meragut 50 nyawa itu disiarkan secara penstriman langsung dan tersebar dengan cepat di internet beberapa jam selepas serangan.
Pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai yang berkongsi rakaman video itu, yang diisytiharkan haram di New Zealand, ketika gelombang kekejaman terbesar ke seluruh negara.
Enam orang yang dihadapkan ke mahkamah pada Isnin didakwa kerana memiliki atau menyebarkan rakaman kekejaman yang berlaku pada 15 Mac itu.
Laman web berita mahkamah Christchurch melaporkan, pegawai pendakwa, Pip Currie berkata, beberapa defendan mengadu menerima ancaman bunuh.
Katanya, mahkamah turut mengarahkan nama lima daripada enam defendan tidak didedahkan.
Hakim Stephen O’Driscoll membebaskan tiga daripada defendan dengan ikat jamin dan mengarahkan agar perintah itu dikekalkan. Beliau memberi amaran kepada sesiapa saja yang cuba bertindak menegakkan undang-undang di tangan sendiri.
“Adalah tindakan yang bijak jika membenarkan keadilan ditegakkan tanpa campur tangan dari luar, oleh sesiapa pun sama ada yang menyokong mereka yang hadir di mahkamah, atau sesiapa yang mahu menegakkan keadilan sebelum ia dihadapkan ke mahkamah,” kata O’Driscoll.
Seorang daripada defendan berusia 18 tahun turut didakwa kerana memiliki gambar masjid dengan keterangan gambar ‘sasaran ditemui’. – AFP