M-Update,16/4/2019, KUALA TERENGGANU: Terengganu bercadang menaikkan tarif air seperti saranan Kerajaan Persekutuan berikutan kadar itu tidak disemak dalam tempoh lebih 20 tahun. Bagaimanapun, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kenaikan yang akan berlaku tidak sama dengan negeri lain dengan kadar minimum dikenakan kepada orang awam.
“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mengenai perkara ini dan pada dasarnya kerajaan negeri bersetuju menerima kenaikan tarif itu walaupun tidak sama dengan negeri lain.“Kerajaan negeri beri jaminan, kenaikan untuk orang awam adalah pada kadar minimum dan tidak membebankan, berbeza dengan industri.
“Kenaikan kadar ini perlu dibuat berdasarkan kaedah pengiraan tertentu selepas mengambil kira kadar tarif di negeri ini tidak pernah disemak lebih 20 tahun lalu,” katanya.Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Jalinan Mesra Ahli Kelab Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) Terengganu Bersama Menteri Besar di Kediaman Seri Iman di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden KUPEKMAS Datuk Omar Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah.Sebelum ini, akhbar melaporkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan rancangan menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna kini mendapat persetujuan enam negeri.
Ia disebabkan situasi semasa menyaksikan peningkatan kos operasi tahunan industri pembekalan air tidak diimbangi dengan kadar tarif bekalan terbabit selain kadar tarif tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pengumuman dan pelaksanaan kenaikan itu hanya akan dibuat selepas kerajaan Pusat membuat pengumuman rasmi.
“Saya tak jangka pengumuman itu akan dilakukan dalam masa terdekat… mungkin dua atau tiga bulan lagi,” katanya.
–BHarian