M Update, 23/04/2019 – Seluruh Sri Lanka bertafakur selama tiga minit hari ini, sempena hari berkabung negara bagi mengenang lebih 300 mangsa yang terkorban dalam insiden serangan bom, yang didakwa didalangi kumpulan militan Islam tempatan.
Bendera dikibarkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan dan orang ramai menunduk kepala tanda hormat, ketika mengimbau kejadian yang menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Saat bertafakur bermula pada jam 8.30 pagi (waktu tempatan), iaitu detik ketika salah satu daripada enam bom meletup pada pagi Ahad lalu.
Kejadian itu mengakibatkan ratusan maut selepas penyerang menyasar beberapa hotel mewah dan gereja yang penuh dengan penganut Kristian bagi menyambut hari Easter.
Sebaik sahaja acara bertafakur tamat, jurucakap polis mengumumkan angka kematian meningkat kepada 310 orang, selepas beberapa mangsa yang cedera disahkan maut.
Majlis peringatan pertama berlangsung hari ini, kebanyakannya membabitkan mangsa warga asing, iaitu beberapa jam selepas kerajaan mengumumkan perintah darurat dan mendakwa kejadian didalangi kumpulan militan Islam.
Polis berkata, 40 individu sudah ditahan susulan serangan bom berkenaan, kejadian yang dianggap paling buruk sejak berakhirnya perang saudara di Sri Lanka. – AFP