M Update, 24/4/2019 – Bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas kereta dinaiki bersama keluarganya terbabas di Kilometer 31, Jalan Kuantan-Segamat, dekat simpang FELDA Lepar Hilir di sini, awal pagi tadi.
Kejadian jam 6.30 pagi itu, Nurul Afiqah Umaira Muhammed Hafiq disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Kemalangan itu juga mengakibatkan bapa mangsa, Muhammed Hafiq Halim, 27, ibu, Roslinawati Ismail, 28, dan kakaknya Nurul Atiqah Umaira, 3 tahun, yang menetap di Sungai Karang, dekat sini, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta jenis Proton Iswara dipandu Muhammed Hafiq dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan, terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian.
Kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terbalik dengan keadaan keempat-empat tayar berada di atas,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini. Kamarulzaman berkata, mangsa yang berada di atas riba ibunya di tempat duduk hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik HTAA untuk proses bedah siasat manakala tiga lagi mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya. Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu polis melengkapkan siasatan. Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online