M Update, 24/04/2019 – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern hari ini menafikan kerajaannya menerima sebarang maklumat perisikan mengaitkan serangan dahsyat Hari Easter di Sri Lanka sebagai tindakan balas dendam terhadap insiden tembakan kejam di Christchurch.
Ia susulan kenyataan Menteri Muda Pertahanan Sri Lanka, Ruwan Wijewardene di Parlimen semalam, yang mendakwa, siasatan awal mendedahkan, pengeboman ke atas gereja dan hotel yang mengorbankan 321 orang, dilakukan sebagai balas dendam terhadap insiden tembahan kejam di dua masjid New Zealand 15 Mac lalu.
Pakar keselamatan dan penganalisis bagaimanapun mempersoalkan jika serangan bom serentak itu dirancang dalam tempoh singkat.
“Kami tidak menerima apa-apa maklumat secara rasmi atau menerima apa-apa laporan perisikan yang menyokong apa yang dikatakan di Sri Lanka.
“Sri Lanka berada dalam peringkat awal siasatannya. Justeru, kami enggan campur tangan namun kami tiada apa-apa maklumat setakat ini untuk menyokong apa yang sudah diperkatakan,” kata Ardern dalam sidang media di Auckland.
Militan Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan di Sri Lanka semalam dan menamakan tujuh penyerang yang melakukannya. Ia tidak memberi bukti lanjut menyokong dakwaan itu.
Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe memberitahu sidang media, penyiasat menunjukkan perkembangan dalam mengenal pasti penjenayah dan percaya ia mungkin ada kaitan dengan Daesh.
Terdahulu, Wijewardene memberitahu Parlimen, dua kumpulan Islam Sri Lanka, Thawheed Jama’ut Nasional (NTJ) dan Jammiyathul Millathu Ibrahim (JMI), bertanggungjawab dalam serangan Ahad lalu.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa pihaknya percaya serangan itu ada kaitan dengan insiden tembakan dua masjid di Christchurch. -Reuters