M Update, 30/4/2019 – Pemandu bas maut, manakala enam penumpang cedera selepas bas dinaiki merempuh belakang lori di Kilometer 231.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Kuala Kangsar, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 4.05 daripada orang awam. Menurutnya, maklumat awal yang diterima mengatakan terdapat kemalangan membabitkan sebuah lori dan bas di lokasi berkenaan.
Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dari arah selatan menghala ke utara sampai di tempat kejadian dan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan disebabkan sebuah kenderaan berhenti di bahu jalan. Sebaik lori itu berjaya memasuki ke lorong kanan jalan, bas dari arah belakang dengan laju dan merempuh kenderaan berat berkenaan.
Akibat daripada kemalangan itu pemandu bas meninggal dunia di tempat kejadian manakala enam penumpang bas cedera dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Menurutnya, Pegawai Penyiasat masih berada di hospital untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai mangsa dan kemalangan itu.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 3.12 pagi dan sebaik tiba di lokasi mendapati, seorang mangsa tersepit serta disahkan sudah meninggal dunia di bahagian pemandu bas. Bomba kemudian menggunakan pemotong hidrolik untuk mengeluarkan mangsa yang kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
Mangsa yang maut adalah pemandu bas lelaki berbangsa Melayu dan operasi diketuai Komander Operasi Meor Haslin Baheran itu ditamatkan 8.01 pagi,” katanya. -HM Online