Input your search keywords and press Enter.

PETRONAS alih tumpuan ke benua Amerika

Ketika pengeluaran minyak di telaga domestik terus berkurangan, syarikat minyak dan gas negara PETRONAS bergantung kepada rantau Amerika untuk membantu meningkatkan rizab dan mengekalkan kadar pengeluaraannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS tan Sri Wan Zulkiflee Wan Arifin menyatakan bahawa firma minyak dan gas negara tersebut akan memperuntukkan bahagian lebih besar perbelanjaan modal akan datang untuk projek dari Kanada hingga Brazil. Ia dilakukan sejurus harga minyak pulih daripada kejatuhan pada 2014 dan kemudahan penapisan serta petrokimia di Pengerang Johor berjaya disiapkan.

Minggu lalu, PETRONAS bersetuju untuk membeli kepentingan dalam dua lapangan luar pesisir di Brazil, sekali gus memperluaskan lagi portfolionya di rantau Amerika kerana di sana terdapat banyak peluang yang boleh diterokai oleh PETRONAS.

Ujar beliau, PETRONAS masih memiliki ‘banyak lagi projek yang dirancang’ di Malaysia, termasuk rancangan untuk menambah perbelanjaan ke atas tenaga boleh diperbaharui.

PETRONAS kebiasaannya memperuntukkan antara RM45 bilion hingga RM55 bilion bagi perbelanjaan modal setiap tahun dan projek huluan akan memperoleh ‘bahagian lebih besar’ daripadanya pada masa akan datang dan antara yang akan mendapat bahagian daripada peningkatan perbelanjaan itu adalah usaha sama eksport gas asli di barat Kanada bersama Royal Dutch Shell Plc.

Tahun lalu, PETRONAS bersetuju untuk membeli 25% kepentingan dalam projek LNG Canada bernilai C$40 bilion (RM123 bilion).

Wan Zulkiflee berkata, kos pembinaan akan meningkat untuk beberapa tahun akan datang dan PETRONAS perlu meningkatkan perbelanjaan ke atas penggerudian gas.

Selain itu, PETRONAS juga merancang untuk melabur AS$2.3 bilion (RM9.5 bilion) dalam tempoh empat tahun untuk lapangan minyak syal Vaca Muerta di Argentina bersama syarikat minyak YPF SA, selain mempunyai kepentingan dalam 10 blok luar pesisir di Mexico dan kerja penggerudian akan bermula pada suku ketiga.

Pembelian kepentingan dalam lapangan minyak Brazil daripada Petroleo Brasileiro SA bernilai AS$1.29 bilion (RM5.3 bilion) membawa komitmen perbelanjaan lebih tinggi memandangkan syarikat terbabit akan meningkatkan pengeluaran akan tetapi perbelanjaan lebih tinggi tidak bermakna lebih banyak pinjaman akan dilakukan.

Dalam masa yang sama PETRONAS tiada rancangan untuk memasuki pasaran bon kerana mempunyai tunai yang kukuh. Berdasarkan penyata kewangan terkini, PETRONAS mempunyai tunai sebanya RM172.5 bilion setakat 31 Disember 2018 dan syarikat minyak dan gas negara itu juga akan melakukan tinjauan untuk membangunkan perniagaan tenaga boleh diperaharui.

Ia membuat kemunculan pertama dalam sektor tenaga bersih bulan ini selepas bersetuju membeli Amplus Energy Solutions Pte daripada I Squared Capital, bagi menghasilkan tenaga solar 500 megawatt, sama ada yang beroperasi atau sedang dibangunkan.

Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS merancang memperuntukkan sehingga 5% perbelanjaan modal tahunannya untuk segmen berkenaan dan akan meninjau lebih banyak peluang di Malaysia, dengan menumpukan kepada solar dan angin.

Leave a Reply