M Update, 2/5/2019 – Kementerian Kesihatan komited melaksanakan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bagi memastikan pengurusan kesihatan dan pencegahan lebih cekap di semua hospital dan klinik seliaannya dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sistem berkenaan penting kerana ia membantu memudahkan tugas dan mengurangkan kos dalam sektor kesihatan. Katanya, peranan EMR dalam sektor berkenaan sangat besar kerana ia dapat menyimpan semua data mengenai pesakit yang menerima rawatan di hospital dan klinik.
Jika dilihat sekarang, sekiranya data pesakit tidak ada di dalam sistem digital, kita perlu cari dalam stor rekod perubatan kerana ia di buat secara manual. Dengan EMR, setiap pesakit mempunyai data peribadi yang mana jika individu terbabit ingin dapatkan perkhidmatan di hospital atau klinik, semua rekod kesihatan seperti alergik, penyakit dan pesakit tidak lagi perlu melakukan ujian makmal berulang kali.
Selain itu, Dr Dzulkefly berkata melalui EMR juga pihak kementerian dapat melaksanakan pengurusan kesihatan dan pencegahan dengan lebih cekap antaranya risiko penyakit baharu, peningkatan kos rawatan dan prestasi kakitangan menerusi data dan fakta yang dapat diakses dengan mudah. – BH Online