M Update, 02/05/2019 – Pekan Lembah Loire di Ambroise menyambut ulang tahun ke-500 kematian Leonardo da Vinci dengan penuh gaya hari ini menggunakan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Presiden negara itu dan rakan sejawat beliau dari Itali.
Pelukis agung Florentine itu yang membawa imej Kebangkitan Itali adalah tetamu kepada Raja Francis 1 di Perancis untuk tempoh tiga tahun terakhir hayatnya sebelum meninggal dunia di Ambroise pada 1519.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden Sergio Mattarella dari Itali memulakan sambutan dengan melawat kubur Leonardo di kediaman Diraja dan rumah agam Clos Luce yang terletak berhampiran iaitu tempat Leonardo menetap serta menghembuskan nafas terakhir.
Antara tetamu kehormat yang menghadiri majlis itu termasuk arkitek terkenal Itali, Renzo Piano dan angkasawan Perancis, Thomas Pesquet.
Sambutan bersama berkenaan diadakan beberapa bulan selepas ketegangan hubungan diplomatik antara Rome dan Paris susulan dasar diperkenalkan kerajaan populis Itali dan sokongan terhadap penunjuk perasaan anti kerajaan ‘ves kuning’.
Dalam krisis diplomatik terburuk antara kedua negara sejak Perang Dunia Pertama itu, Paris bertindak memanggil pulang duta mereka dari Rome.
Menurut pejabat Macron, Mattarella, seorang penyokong tegar Kesatuan Eropah (EU), sama seperti presiden Perancis itu memainkan peranan penting dalam mengurangkan ketegangan antara kedua negara.
Selepas tunjuk perasaan oleh hampir 200 peserta ves kuning di Amboise Sabtu lalu, pekan dihuni kira-kira 13,000 penduduk itu dikawal rapi sejak awal pagi semalam menjelang lawatan kedua presiden.
Orang ramai dilarang meletak kenderaan masing-masing di sepanjang laluan yang akan digunakan oleh konvoi dua ketua negara terbabit dan kenderaan melanggar arahan itu akan ditunda pihak berkuasa.
Kedai, bar dan restoran beroperasi di bawah rumah agam itu turut ditutup. – AFP