M Update, 8/5/2019 – Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat diselamatkan selepas ditinggalkan di dalam sebuah mesin basuh layan diri di sebuah premis di Krabi, selatan Thailand.
Pemilik premis berkenaan, Sangduen Khaorueng, 47, berkata, dia datang ke kedainya pada malam kelmarin dengan terdengar bunyi bayi menangis.
“Pada mulanya saya tidak menghiraukan bunyi tangisan itu kerana beranggapan ia datang dari rumah jiran. “Bagaimanapun, tangisan bayi itu tidak berhenti menyebabkan saya mencari punca suara berkenaan.
Apabila saya memeriksa sebuah mesin basuh saya terkejut apabila menemui seorang bayi yang dibalut dengan tuala di dalamnya,” katanya. Polis dan paramedik kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan memberitahu bayi itu berada dalam keadaan sihat tetapi kanak-kanak malang itu sangat lapar.
Menurut polis, pihaknya sedang mengesan ibu bayi berkenaan yang mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana membuang anaknya sendiri. – HM Online