Input your search keywords and press Enter.

Trump, Xi dijangka bertemu runding perjanjian perdagangan

M Update, 13/05/2019 – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping mungkin mengadakan perjumpaan, bulan depan, ketika Persidangan G20 untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan, kata penasihat ekonomi Rumah Putih.

Bagaimanapun, Larry Kudlow hari ini berkata tiada rundingan lain dijadualkan berhubung kemelut itu.

Dua ekonomi terbesar dunia itu menamatkan rundingan dua hari di Washington, Jumaat lalu, tanpa sebarang persetujuan.

Walaupun jelas menyatakan As tidak mahu mengalah, Kudlow cuba meredakan kebimbangan dengan menegaskan proses rundingan masih berjalan.

“Kita memerlukan sesuatu yang lebih jelas dan sehingga itu, tarif akan diteruskan. Kita tidak boleh menarik balik keputusan,” kata Kudlow dalam wawancara dengan Fox News, hari ini.

Mengulas mengenai rundingan akan datang, beliau memaklumkan China sudah menjemput Setiausaha Perbendaharaan As, Steven Mnuchin dan Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer ke Beijing untuk perbincangan peringkat tinggi.

Peluang pertemuan antara Trump dan Xi, ketika persidangan Persidangan G20 di Jepun, lewat Jun amat baik, kata penasihat kanan Rumah Putih itu. Persidangan G20 akan dijadualkan di Osaka pada 28 dan 29 Jun depan.

Trump sebelum ini menuduh Beijing tidak mahu melaksanakan komitmen yang dibuat dalam rundingan dan mengarahkan tarif hukuman baharu berkuatkuasa Jumaat lalu, terhadap AS$200 bilion (RM831.80 bilion) import China daripada 10 kepada 25 peratus.

Beliau kemudian mengarahkan kenaikan tarif untuk semua baki import China bernilai AS$300 bilion (RM1.24 trilion).

Walaupun penyokong memuji Trump sebagai perunding tegas, ahli Republikan yang pro kepada perdagangan bebas memberi amaran bahawa tarif itu akan menjejaskan ekonomi dan ramai petani termasuk penyokong Trump memaklumkan tarif menjejaskan pendapatan mereka.

“Saya percaya sebarang kerosakan kepada ekonomi AS tidak seteruk jangkaan dan jika ada risiko, kita patut dan mampu menanggungnya,” kata Kudlow. – AFP

Leave a Reply