Input your search keywords and press Enter.

Kanak-kanak Kelima Guatemala Maut Dalam Tahanan AS

M Update, 21/05/2019 –  Seorang budak lelaki 16 tahun meninggal dunia di stesen Peronda Sempadan di Texas, semalam, menjadi kanak-kanak kelima dari Guatemala yang maut dalam tahanan agensi Amerika Syarikat (AS) itu sejak Disember lalu.

Perlindungan Sempadan dan Kastam AS (CBP) berkata, remaja lelaki itu, yang ditahan di Lembah Rio Grande, selatan Texas pada 13 Mei lalu selepas menyeberangi sempadan, didapati tidak sedarkan diri di Stesen Weslaco agensi itu ketika pemeriksaan kebajikan.

Pihak berkuasa berkata, punca kematian tidak diketahui namun laporan berita tempatan mengatakan, budak lelaki itu memaklumkan tidak sihat Ahad lalu dan dirawat jururawat yang mengesahkan dia menghidap selsema.

Remaja itu kemudian diberi ubat Tamiflu dan dipindahkan ke kemudahan Weslaco bagi mengelak jangkitan. Pegawai kali terakhir memeriksanya kira-kira sejam sebelum mangsa ditemui meninggal dunia.

“Kakitangan Perlindungan Sempadan dan Kastam AS sedih dengan kehilangan tragik lelaki muda ini dan ucapan takziah kepada mangsa.

“CBP komited terhadap kesihatan, keselamatan dan layanan kemanusiaan terhadap mereka yang berada dalam tahanan kami,” kata pemangku pesuruhjaya CBP, John Sanders dalam satu kenyataan.

Agensi itu berkata, remaja dikenali sebagai Carlos Gregorio Hernandez Vasquez, dijangka dipindahkan ke kemudahan untuk belia dikendalikan Pejabat Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Penempatan Semula Pelarian (HHS).

Mengikut undang-undang persekutuan, individu bawah umur perlu dipindahkan ke kemudahan HHS dalam tempoh 72 jam selepas ditahan.

Tidak jelas mengapa Vasquez tidak dipindahkan ke kemudahan itu dalam tempoh ditetapkan.

Agensi Peronda Sempadan dikritik hebat sejak beberapa bulan lalu berhubung layanannya terhadap kanak-kanak yang ditahan di sempadan.

Dua minggu lalu, seorang budak lelaki dua tahun dari Guatemala meninggal dunia di sebuah hospital di Texas selepas dia dan ibunya ditahan peronda sempadan.

Pada April lalu, budak lelaki 16 tahun dari Guatemala meninggal dunia selepas kakitangan di kemudahan HHS menyedari dia sakit dan dirawat di sebuah hospital.

Kumpulan hak asasi mengecam kematian terbaharu itu dan menuntut agensi itu dipertanggungjawabkan.

“Agak mengejutkan kanak-kanak terus meninggal dunia dalam pemerhatian Peronda Sempadan AS. Menahan kanak-kanak bertentangan dengan nilai Amerika.

“Kami menuntut pentadbiran Trump (Presiden Donald Trump) mengubah amalan tahanan tidak berperikemanusiaan bagi menghalang kematian tragik daripada berlaku,” kata Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) dalam satu kenyataan. -AFP

Leave a Reply