M Update, 27/5/2019 – PEGUAM mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, Syazlin Mansor menarik diri daripada prosiding inkues itu.
Perkara itu dimaklumkan Syazlin di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, dalam prosiding inkues kematian Muhamad Adib masuk hari ke-37, di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.
“Dengan penarikan diri ini, saya percaya saksi ke-29, bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid yang sepatutnya dipanggil semula keterangan pada hari ini terbatal,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Taufik Baharom memaklumkan mahkamah pada masa ini, pihaknya tidak ada saksi lain untuk dipanggil memberikan keterangan. Pada 17 Mei lalu, Rofiah membenarkan Prof Shahrom untuk dipanggil semula memberikan keterangan dalam prosiding inkues itu.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu. Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di IJN. – HM Online