M Update, 29/05/2019 – Seorang pendaki Everest yang terselamat dalam ‘kesesakan teruk’ di puncak tertinggi dunia itu, Ameesha Chauhan, kini dirawat di hospital berkata, pendaki tanpa kemahiran asas seharusnya dilarang mendaki bagi mengelak berulangnya musim kematian tinggi tahun ini.
Sebelas orang maut dengan mangsa terbaharu rakyat Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lebih dua minggu selepas cuaca buruk mengurangkan tempoh mendaki, menyebabkan pendaki terpaksa berbaris panjang ke puncak, berisiko menyebabkan keletihan dan kehabisan oksigen.
Nepal mengeluarkan 381 permit mendaki musim ini, angka dianggap rekod dan ratusan pendaki tidak dilatih dengan baik, membuat keputusan buruk dan ‘meletakkan nyawa mereka dan jurupandu Sherpa berisiko,’ kata Chauhan.
Rakyat India berusia 29 tahun itu terpaksa menunggu 20 minit untuk turun dari puncak setinggi 8,848 meter itu, namun yang lain tersekat berjam-jam lamanya.
“Saya melihat sesetengah pendaki tanpa kemahiran asas bergantung sepenuhnya kepada jurupandu Sherpa mereka. Kerajaan (Nepal) seharusnya menetapkan kriteria kelayakan.
“Hanya pendaki terlatih seharusnya diberi permit mendaki Everest,” katanya kepada AFP di hospital umum di sini, dengan semua jari kaki kirinya kehitaman serta kebiruan, manakala wajahnya mengelupas akibat cuaca.
Selain kematian di Everest, sembilan pendaki maut di puncak lain gunung Himalaya itu manakala seorang hilang.
Sekurang-kurangnya empat kematian di Everest dipersalahkan terhadap keadaan terlebih sesak apabila kumpulan pendaki menunggu selama berjam-jam di ‘zon maut’ di mana kesejukan terlampau, udara tipis dan keadaan muka bumi curam menanti pendaki.
Angka kematian Everest tahun ini adalah yang tertinggi sejak 2014-2015 apabila gempa bumi besar mencetuskan runtuhan salji.
Keadaan sesak teruk itu didedahkan dalam gambar barisan panjang pendaki ke puncak, diambil oleh bekas tentera Gurkha, Nirmal Purja. -AFP