M Update, 17/6/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa untuk bertemu ahli ‘Team Mission Baby Ainul’ pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang diadakan di kediaman Pesuruhjaya Tinggi di Templewood Gardens, London, semalam.
Dr Mahathir kini sedang melakukan lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK). Perkara itu dikongsikan pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri di laman sosial Instagram beliau (dramalinabakri) pagi tadi.
Selain Nur Amalina, individu lain turut serta bergambar bersama Dr Mahathir ialah pakar bedah yang turut mengetuai pembedahan Ainul Mardhiah Ahmad Saifuddin, bayi 10 bulan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, Juling Ong; Dr Sharifah Alwi serta dua lagi dikenali sebagai Dr Fahja dan Dr Najmiah. Turut dilihat bersama-sama kumpulan tenaga perubatan warga Malaysia di London itu adalah ibu bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Saifuddin, 24, dan Nurul Erwani Zaidi, 24.
Kemas kini berkenaan mendapat lebih 32,000 tanda suka dan 232 komen sehingga jam 930 pagi ini. Kehadiran Dr Mahathir sambil ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, turut menambahkan seri kepada majlis rumah terbuka berkenaan. Selain itu, rombongan beliau turut disertai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – BH Online