M Update, 18/06/2019 – Pejabat pentadbiran pusat bandaraya ini mula dibuka semula hari ini selepas dikepung penunjuk perasaan susulan bantahan bersejarah kelmarin yang menggesa pemimpinnya, Carrie Lam meletak jawatan berhubung rang undang-undang ekstradisi ke China.
Kerajaan mengumumkan, laluan berhampiran Pejabat Kerajaan Pusat (CGO), tidak jauh dari pejabat Lam, secara umumnya boleh dilalui dan menggesa kakitangan awam kembali bekerja.
Majlis Eksekutif yang dikawal selia Lam akan direhatkan hari ini, kata kerajaan dalam kenyataan berasingan, menambah urusan untuk sesi media biasa Ketua Eksekutif Hong Kong itu akan diumumkan kemudian.
Bantahan kecil diteruskan semalam di luar kompleks kerajaan dan jalan bersebelahan, namun menjelang pagi semalam, penunjuk perasaan tidak kelihatan, menurut laporan Bloomberg.
Lam menerima tekanan meletak jawatan selepas ratusan ribu penunjuk perasaan memakai baju hitam membanjiri pusat bandar kelmarin, menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kerana ‘mencetuskan kontroversi dan pertelingkahan dalam masyarakat.’
Namun, China berkata semalam, ia akan terus memberikan sokongan terhadap Lam dan kerajaannya.
Pemimpin bantahan mahu Lam memansuhkan sepenuhnya rang undang-undang ekstradisi serta meletak jawatan. -Agensi