M Update, 18/06/2019 – Penduduk dunia semakin berusia dan berkembang pada kadar perlahan namun masih dijangka meningkat daripada 7.7 bilion ketika ini kepada 9.7 bilion menjelang 2050, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Kependudukan Sosial PBB berkata dalam laporan baharu, jumlah penduduk dunia mungkin mencapai kemuncaknya pada hampir 11 bilion orang pada penghujung abad ini.
Namun pengarah jabatan berkenaan, John Wilmoth memberi amaran, oleh kerana 2100 masih berdekad jauhnya, jangkaan itu ‘tidak dipastikan dan pada akhirnya kemuncak penduduk itu mungkin berlaku lebih awal atau kemudian, pada paras terendah atau tertinggi jumlah populasi.’
Unjuran baharu penduduk itu menunjukkan, sembilan negara mempengaruhi lebih separuh daripada pertumbuhan diramalkan antara kini dan 2050.
Mengikut urutan menurun negara berkenaan ialah India, Nigeria, Pakistan, Congo, Habsyah, Tanzania, Indonesia, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).
Laporan berkata, di negara sub Sahara Afrika, jumlah penduduk diramalkan hampir dua kali ganda menjelang 2050.
Penolong Setiausaha Agung untuk Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, Lu Zhenmin dalam satu kenyataan berkata: “Kebanyakan populasi yang pantas berkembang adalah di negara termiskin, di mana pertumbuhan penduduk membawa cabaran tambahan dalam usaha menghapus kemiskinan, mempromosi kesamaan jantina dan memperbaiki penjagaan kesihatan dan pendidikan.”
Laporan itu mengesahkan, penduduk dunia semakin berusia berikutan peningkatan jangkaan hayat dan menurunnya paras kesuburan.
Kadar kesuburan global menurun daripada 3.2 kelahiran setiap wanita pada 1990-an kepada 2.5 kelahiran pada 2019 dan dijangka menurun lagi kepada 2.2 kelahiran menjelang 2050.
Menurut laporan, kadar kesuburan 2.1 kelahiran setiap wanita diperlukan untuk memastikan penggantian penduduk dan mengelak penurunan. -Agensi