M Update, 19/6/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, serta Sidang Kemuncak yang berkaitan di Bangkok, Thailand, dari 20 sehingga 23 Jun 2019 ini.
Dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’, Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 itu adalah Sidang Kemuncak pertama diadakan dengan Thailand sebagai pengerusinya tahun ini.
Sidang Kemuncak itu akan memberikan peluang kepada pemimpin negara anggota ASEAN untuk saling bertukar pandangan berhubung hala tuju masa depan perkumpulan itu dan proses pembinaan komunitinya, di samping pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan berbincang mengenai isu penting peringkat serantau dan antarabangsa.
Perdana Menteri dan juga menteri lain, akan mengambil bahagian dalam tiga pertemuan, iaitu pertemuan pemimpin ASEAN dengan perwakilan Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA); pertemuan pemimpin ASEAN dengan perwakilan Belia ASEAN serta pertemuan pemimpin ASEAN dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-Bac).
Dr Mahathir juga akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ke-13 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-12 Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) yang akan berlangsung pada 23 Jun.
Sumber : Bernama