M Update, 20/6/2019 – Perselisihan faham akibat perempuan dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan remaja lelaki di tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera di Sungai Isap di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kejadian yang berlaku pada jam 1 pagi itu, dipercayai membabitkan 12 remaja berumur antara 19 dan 20 tahun, yang berasal dari sekitar daerah ini, Pekan, dekat sini dan Kangar, Perlis.
Katanya, mangsa yang berusia 20 tahun dan masih belajar itu mendakwa dihubungi oleh seorang lelaki tidak dikenali pada jam 8 malam sebelumnya yang memperkenalkan diri sebagai bapa saudara kepada bekas tunangnya dan mahu berjumpa. Mangsa mendakwa dia dan dua rakan berada di kawasan letak kereta itu apabila dihampiri tiga kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki dengan seorang suspek bertanyakan nama mangsa.
Lelaki itu didakwa terus menumbuk muka dan menendang pinggang mangsa dengan diikuti suspek lain yang secara bertubi-tubi menyerang mangsa dan rakannya, sebelum pergaduhan dileraikan orang awam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohamad Noor berkata mangsa membuat laporan polis kira-kira sejam selepas kejadian dan mendakwa perbuatan suspek menyebabkan dia dan seorang rakan berusia 19 tahun lebam di muka, kepala dan badan. Beliau berkata enam remaja berumur antara 19 dan 20 tahun ditahan antara jam 4.50 petang dan 6.45 petang semalam, di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, selepas dipanggil memberi keterangan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama