M Update, 20/06/2019 – Pihak berkuasa Amerika Syarikat merampas kira-kira 16 tan kokain yang dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM4.16 bilion) dari sebuah kapal di Philadelphia. sekali gus mencatat sejarah sebagai antara rampasan terbesar pernah dibuat.
“Ini adalah antara rampasan terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Semua kru kapal sudah ditahan untuk dakwaan,” kata peguam daerah Philadeplhia, William McSwain menerusi Twitter, merujuk kepada serbuan di Terminal Marin Packer, Philadelphia itu.
Menurut laporan media tempatan, kesemua dadah itu ditemui dalam tujuh kontena berasingan di atas kapal kargo MSC Gayane yang sedang dalam perjalanan ke Eropah selepas singgah di Chile, Panama dan Bahamas.
Imej disiarkan di televisyen tempatan memaparkan kenderaan dari Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS memasuki ruang pelabuhan, diikuti empat ejen yang menaiki kapal itu.
Pejabat pendakwa bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan kesemua maklumat ini.
Serbuan terbabit berlaku selepas pihak berkuasa AS merampas hampir 1.5 tan kokain pada Mac lalu, rampasan terbesar dalam hampir 25 tahun di pelabuhan New York/Newark.
Jabatan Penguatkuasaan Pengurusan Dadah AS dalam laporan 2018 berkata, penggunaan kokain di negara itu meningkat pada tahun 2016 dan 2017 dengan 93 peratus dadah yang diedarkan di AS berasal dari Colombia manakala empat peratus lagi dari Peru. – AFP