Input your search keywords and press Enter.

Profesor UiTM Dinobat Wanita Kedua Paling Berpengaruh Dalam Bidang Kewangan Islam

M Update, 20/6/2019 – Pengarah Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Normah Omar, dinobatkan sebagai wanita paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory.

UiTM dalam kenyataan hari ini berkata, penganugerahan itu diumumkan pada majlis ‘The 2nd WOMANi Gala Dinner and Awards’ di JW Marriott Marquis Hotel, Dubai, kelmarin. Cambridge International Finance Advisory adalah sebuah organisasi perkhidmatan kewangan yang berpusat di United Kingdom (UK), iaitu menyediakan khidmat nasihat strategik kepada badan kerajaan, institusi kewangan dan organisasi dua hala dalam memajukan pasaran kewangan.

Prof Dr Normah disenaraikan di tempat kedua, selepas Datuk Noripah Kamso, Pengerusi Bank Rakyat. Anugerah ini sekali gus mengiktiraf dedikasi dan kesungguhan Prof Dr Normah dalam usaha beliau memajukan kajian perlakuan jenayah dalam bidang Kewangan Islam atau Kriminologi Kewangan Islam,” kata kenyataan itu. Normah adalah penyelidik perintis dalam bidang Kriminologi Kewangan Islam di mana sumbangan dan kesungguhan beliau berjaya mencapai aspirasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam.

Di bawah kepeimpinan beliau, ARI diberikan status Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sejak 2010 dan institut itu secara berterusan meletakkan penyelidikan dalam bidang Kewangan Islam sebagai fokus utama.

Selaras dengan kepakarannya dalam bidang itu, Prof Dr Normah telah banyak memberikan sumbangan dengan menjalin kerjasama dengan agensi dan badan kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah, Persatuan Pakar Bertauliah Anti-Pengubahan Wang Haram dan beberapa persatuan lagi, ” kata kenyataan itu. – Bernama

Leave a Reply