M Update, 21/6/2019 – Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohd Sapee Julaihi, 55, meninggal dunia selepas menyertai operasi menangkap ular sawa awal pagi tadi.
Mohd Sapee yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentral Sibu meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Sibu pada jam 7.55 pagi. Anggota terbabit sebelum itu ditugaskan dalam satu operasi menangkap ular sawa di taman perumahan di Permai, di sini kira-kira jam 4 pagi. Bagaimanapun, dalam perjalanan balik ke balai, dia mengadu sakit dada dan terus dibawa ke Hospital Sibu.
Dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan,” menurut Pemangku Ketua Zon Empat JBPM Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad. Beliau berkata, jenazah dibawa ke rumah wakaf Masjid An-Nur Sibu untuk diuruskan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sibu Jalan Tun Abang Haji Openg sebelum solat Jumaat hari ini. Allahyarham meninggalkan empat anak lelaki berusia sembilan hingga 18 tahun. – BH Online