M Upadate, 26/6/2019 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengeratkan kerjasama dengan Prasarana Malaysia Bhd, bagi menangani isu-isu utama yang melibatkan salahguna lif, kawasan parkir dan tandas yang dikhaskan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) oleh orang awam.
Timbalan Menterinya Hannah Yeoh berkata sesi dialog bersama golongan OKU di kementeriannya di Putrajaya semalam mendapati bahawa ketiga-tiga isu ini antara masalah yang sering diutarakan golongan berkenaan. Selepas sesi dialog semalam, kementerian hari ini bermesyuarat dengan pihak Prasarana pula untuk bersama-sama berbincang bagaimana cara menangani isu ini kerana ia terlalu kerap berlaku bagaikan tiada pengawasan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media mesyuarat bersama Prasarana di sini, hari ini.
Selain tindakan yang lebih tegas akan dikenakan pihak Prasarana kepada mereka yang menyalahguna ketiga-tiga fasiliti yang dikhaskan untuk OKU ini, Kementerian juga telah meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk lebih tegas dalam memantau penyalahgunaan fasiliti berkenaan di kawasan awam,” tambahnya.
Dalam pada itu, Yeoh turut menggalakkan lebih ramai golongan OKU mendaftarkan diri mereka dengan Jabatan Pembangunan OKU (jabatan dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk mendapatkan kad khas yang akan memberi banyak manfaat kepada mereka. Antara manfaat yang bakal diterima pemegang kad khas OKU itu ialah diskaun harga tiket 50 peratus apabila menggunakan kemudahan pengangkutan awam terutamanya yang disediakan oleh Prasarana. – Bernama