M Update, 28/6/2019 – Golongan Bumiputera perlu mengikis kebergantungan kepada bantuan dan dana kerajaan, selain sikap mengkhianati dana serta kepercayaan yang diamanahkan kepada mereka.
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Mohd Azraai Kassim, berkata banyak peluang yang diberi kerajaan kepada masyarakat Melayu disia-siakan, dan akhirnya direbut bangsa lain yang menggunakannya untuk meningkatkan ekonomi mereka.
“Keadaan ini perlu dihindari dan ini juga satu pengkhianatan. Pengukuhan bangsa Melayu tidak dapat dizahirkan, malah bangsa lain yang mendapat laba,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Bengkel Memperkasa Kecemerlangan Bumiputera anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) dengan kerjasama UiTM di Grand Bluewave Hotel Shah Alam, di sini, hari ini. Turut hadir, Pro Canselor UiTM, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.
Jika bangsa lain lebih maju ekonominya, Melayu dan Bumiputera hendaklah menjadikan mereka model serta rakan kerjasama. Kita jangan terus-menerus berantakan membelek dan menghalusi perbezaan serta kemusykilan remeh sehingga ketinggalan dalam pelbagai segi. Sebaliknya kita perlu berbuat sesuatu untuk membela nasib kita sendiri. Kita mestilah mengubah sikap menjadi lebih terbuka, rajin mencari ilmu, pengetahuan dan peluang untuk maju,” katanya.
Beliau berkata, jika Melayu dan Bumiputera tidak mempunyai disiplin atau bekerja keras, mereka tidak boleh maju. Dalam pada itu, Mohd Azraai turut mengingatkan warga UiTM berpijak di bumi nyata dengan menyepadukan ilmu kepada keperluan gunaan termasuk industri, kerana masyarakat mengharapkan UiTM menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan keperluan negara.
Kita di UiTM mestilah lebih tertumpu dalam melatih masyarakat Bumiputera dengan nilai yang betul, antaranya mempelajari ilmu Matematik atau keusahawanan. Fakulti perlu mengajar bagaimana cara menyara hidup, umpamanya orang kampung dulu tanam padi dan dijual kepada masyarakat Cina dengan bayaran RM5,000. Bagi mereka sudah cukup berpuas hati tetapi mereka tak kira sekali kos baja, racun dan sebagainya. Mereka tak tahu mengurus pengeluaran duit dan untung rugi mereka. ‘Darah usahawan’ ini yang mahu kita tekanan,” katanya.