M Update, 28/6/2019 – Seorang bayi perempuan berjaya dilahirkan melalui pembedahan selepas ibunya koma ketika hamil sejak Disember tahun lalu kerana menghidap ketumbuhan di kepala.
Dari seawal usia dua bulan dalam kandungan, bayi itu hanya bergantung pada susu dimasukkan melalui tiub dari leher ibu, Kamareeah Arwae, 36, yang koma setelah mengalami kejang dan sawan berikutan tumor semakin membesar.
Justeru, kelahiran Farah Hanis Fairol Haziri yang kini berusia 41 hari, disifatkan satu ‘keajaiban’ kerana bayi berkenaan pada awalnya dijangka tidak mampu diselamatkan susulan keadaan Kamareeah menjalani banyak proses rawatan ketika koma, termasuk imbasan yang boleh memberi kesan terhadap janin ketika itu.
Bapa bayi itu, Fairol Haziri Rahim, 44, berkata Farah Hanis dilahirkan pramatang ketika kandungan berusia 33 minggu dengan menghadapi sedikit komplikasi dan ditahan di wad selama kira-kira tiga minggu sebelum dibenarkan pulang.
“Saya memang sudah mengetahui isteri mengandung dari awal. Ketika isteri menerima rawatan, doktor memaklumkan bahawa janin mungkin tidak dapat bertahan. Isteri terpaksa melalui banyak proses imbasan dan doktor ada menerangkan risiko proses itu terhadap janin,” katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, hari ini.
Fairol Haziri berkata, isterinya kemudian menjalani pembedahan membuang tumor sebesar bola pingpong ketika kandungan memasuki usia empat bulan. Doktor memaklumkan bahawa bayi itu berkemungkinan akan meninggal dunia dalam kandungan atau gugur sendiri berikutan keadaannya sangat lemah, justeru perlu reda kerana nyawa isteri lebih penting.
Bagaimanapun, selepas menjalani dua pembedahan, termasuk membuang tempurung kepala, isteri dibenarkan pulang dan dalam tempoh itu, kandungannya masih tiada tanda negatif. Apabila kandungan berusia 33 minggu dan semakin membesar dengan normal serta pembentukan sifat yang sempurna, pegawai perubatan mengambil keputusan supaya anak kami dilahirkan melalui pembedahan,” katanya.
Fairol Haziri berkata, selepas dilahirkan, Farah Hanis sempat diberikan susu ibu oleh seorang ibu susuan selama dua minggu dan kini bergantung pada susu formula khas untuk bayi pramatang. Selain Farah Hanis, pasangan itu memiliki seorang lagi anak, Farras Hazim berusia setahun tujuh bulan yang masih menyusu badan sebelum isterinya koma. Sebelum ini, Fairol Haziri menguruskan sebuah kedai makan tetapi premis itu ditutup selepas kejadian menimpa isterinya.
Beliau kini tidak bekerja dan terpaksa mengharapkan ihsan orang ramai serta bantuan beberapa pihak lain bagi menampung kos susu khas dan lampin pakai buang untuk isterinya. Fairol Haziri berkata, pihaknya ada menerima bantuan kewangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung.
Orang ramai yang ingin menyumbang atau menghulurkan bantuan, boleh menghubungi beliau melalui nombor telefon 014-5341466.
Sumber : BH Online